Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat wakil pengurusan kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawalan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jawatankuasa khas pantau kawalan kesihatan, vaksin petugas hadapan ekonomi

SHAH ALAM, 9 JUN: Jawatankuasa Khas Pematuhan Kawalan Kesihatan Industri Selangor ditubuhkan untuk memantau penularan Covid-19 di sektor perkilangan dan industri.

Dato’ Menteri Besar berkata jawatankuasa itu berperanan memastikan semua pihak mematuhi kawalan kesihatan serta membantu program suntikan vaksin petugas hadapan ekonomi.

“Seperti semua sedia maklum, peratusan kes dan pembentukan kluster banyak bermula di tempat kerja. Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif melaksanakan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

“Program selama tiga bulan memberikan solusi holistik bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di tempat kerja. Sehingga 30 Mei, lebih 120 syarikat merangkumi 50,000 pekerja menyertai program ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Beliau turut mengumumkan ahli jawatankuasa khas terdiri bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Bangi yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming serta Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) Dr Muhammad Farhan Rosli.

Sejumlah RM500,000 diperuntuk bagi melancarkan operasi pematuhan dan kawalan kesihatan industri.

Inisiatif itu antara terkandung dalam Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Pada 6 Januari Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

 


Pengarang :