Pegawai pesuruhjaya bangunan (COB) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi surat amaran kepada wakil badan pengurusan bersama (JMB) Perdana Residences 2, Selayang kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam operasi bersepadu pada 21 Jun 2021. Foto MPS
PBTSELANGOR

JMB ingkar SOP perintah kawalan diberi surat amaran

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan surat amaran terhadap sebuah badan pengurusan bersama (JMB) di Perdana Residences 2, Selayang kerana ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Korporatnya berkata tindakan diambil ketika operasi bersepadu dijalankan pesuruhjaya bangunan (COB) MPS dan unit penguatkuasaan pengurusan strata kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) semalam.

“Semasa pemantauan, kita dapati terdapat pekerja pembersihan yang bertugas di JMB berkenaan tidak membuat dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera,” kata Mohamad Zin Masoad menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak lima JMB dipantau antaranya Andari Townvilla, Kota Warisan, Perdana Residence, Casa Mila termasuk Perdana Residences 2.

Menurutnya, JMB terbabit diperiksa surat kelulusan operasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), jadual pekerja, penjarakan fizikal dalam lif, kemudahan dan fasiliti guna sama selain memastikan tiada aktiviti atau majlis sosial.

“MPS dan anggota penguat kuasa KPKT turut memberi teguran kepada semua JMB untuk membuat penambahbaikan SOP sebagai langkah pencegahan Covid-19.

“Pemantauan berkala di semua perumahan berstrata akan terus dilakukan dan tindakan tegas menanti JMB yang ingkar dengan pematuhan SOP ditetapkan,” kata Mohamad Zin.


Pengarang :