Selangorkini
Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Jualan vaksin Covid-19 dalam talian adalah sindiket penipuan – polis

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian seperti yang diiklankan dalam laman media sosial adalah satu sindiket penipuan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

“Sindiket ini sebenarnya tidak mempunyai bekalan vaksin itu dan ia adalah penipuan semata-mata. Jika mereka ada botol cecair vaksin berkenaan ia adalah tipu.

“Saya ingin menegaskan bahawa vaksin itu bukan bekalan yang boleh dijual begitu sahaja memandangkan ia adalah produk yang begitu sensitif, eksklusif dan bertahap keselamatan tinggi,” katanya.

Abd Jalil berkata vaksin Covid-19 tidak boleh dijual sewenang-wenangnya secara terbuka mahupun secara dalaman kerana ia mengikut pendaftaran aplikasi MySejahtera dan orang ramai akan memperoleh jadual suntikan vaksin itu mengikut janji temu yang ditetapkan.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ dan Bahagian D7 Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap JSJ di Menara KPJ, di sini hari ini.

Sebelum ini, polis melakukan beberapa siri tangkapan berkaitan sindiket berkenaan di ibu negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Oleh itu, saya minta orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan promosi-promosi iklan penjualan vaksin yang dihebahkan dalam media sosial,” katanya.

Abd Jalil berkata dalam tempoh kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menggunakan taktik menjual vaksin Covid-19 ekoran orang ramai berada dalam keadaan tertekan.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya sindiket itu mengenakan bayaran tertentu untuk menerima suntikan, beliau berkata perkara itu tidak betul dan menegaskan semua jenis vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini dikawal dengan tahap keselamatan yang tinggi dan disalurkan kepada pihak yang ditetapkan.

– BERNAMA


Pengarang :