AGENDAJENAYAH

Jurujual muat naik kenyataan kait MySejahtera, program vaksin ditahan

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Polis menahan seorang jurujual peralatan komputer semalam selepas disyaki memuat naik kenyataan berkenaan aplikasi MySejahtera dan program vaksinasi di laman Twitternya yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di Kota Damansara, Petaling Jaya oleh sepasukan polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman kira-kira 12.05 tengah malam.

Menurutnya, lelaki yang juga pemilik akaun Twitter Abah@chairmanGLC itu ditahan hasil maklumat yang diterima daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sebuah telefon bimbit, router (penghala) dan modem yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini dirampas dan lelaki itu direman satu hari (5 Jun) untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platfom terbabit sehingga mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

– BERNAMA


Pengarang :