Petugas Kesihatan Selcare mengimbas kod bar aplikasi Selangkah sebelum membenarkan peserta membuat ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kaedah sukarelawan bergilir lancarkan Saringan Komuniti

PETALING JAYA, 19 JUN: Kaedah penggiliran petugas digunakan pada program pertama Saringan Komuniti fasa tiga melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata sukarelawan dari DUN terbabit akan mula bertugas pada jam 1 petang manakala sebelah pagi diuruskan petugas Seri Setia.

“Ia persetujuan dari pihak kami supaya program gabungan ini berjalan lancar dan tidak timbulkan sebarang masalah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setiap DUN menyediakan 20 sukarelawan yang akan membantu dari pintu masuk hingga ujian calitan selesai,” katanya.

Hari ini saringan percuma fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor bermula melibatkan kawasan mencatatkan peratusan kes positif tinggi.

Pada 9 Jun Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa itu diteruskan termasuk di sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, program telah menyaring penduduk Selangor lebih daripada angka tersebut menerusi fasa satu ketika PKP 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa dua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.


Pengarang :