Pengarah Urusan KDEBWM , Ramli Mohd Tahir melakukan imbasan kod QR sebelum masuk ke pusat pemberian vaksin (PPV), Evo Mall, Bangi pada 27 Jun 2021. Foto KDEBWM
AGENSISELANGOR

KDEBWM harap suntikan vaksin pekerja kutipan sampah dipercepat

SHAH ALAM, 28 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) sedang meneliti jalin kerjasama dengan Selgate Healthcare Sdn Bhd untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada 11,600 pekerja menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Selangor.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata mereka terdiri daripada pegawai sub-kontraktor dan krew pengurusan sampah sisa domestik, sisa pepejal dan pembersihan awam di bawah seliaannya.

“KDEBWM ada 1,100 sub-kontraktor dan 10,500 lagi pegawai dibawahnya, kita akan buat tinjauan berapa ramai lagi yang belum divaksin atau sedang menunggu giliran dari MySejahtera.

“Insya-Allah, sekiranya ada keperluan kita akan bincang dengan pihak Selgate Healthcare Sdn Bhd untuk mempercepatkan vaksin kepada golongan ini yang sering terdedah di tempat berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai membawa 300 kakitangan KDEBWM vaksin dos pertama menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) di pusat pemberian vaksin (PPV), Evo Mall, Bangi, semalam.

Ramli turut memuji kemudahan dan proses mendapatkan vaksin di PPV itu yang cepat, mudah dan teratur serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Pada 24 Jun, Selgate Healthcare Sdn Bhd melancarkan SCVP menerusi pembukaan PPV di lokasi terpilih mulai hari ini antaranya di Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Kompleks PKNS, Kelana Jaya; Hotel De Palma, Shah Alam dan Aurora Mall, Bukit Jalil.


Pengarang :