AGENDA NASIONAL

KEADILAN gesa tambah pusat vaksin luar bandar, mudahkan rakyat

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Persekutuan digesa menambah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor khususnya kawasan luar bandar bagi memudahkan rakyat mendapat suntikan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri, Halimey Abu Bakar berkata kaedah suntikan secara pandu lalu atau klinik bergerak juga mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan persekutuan wajar memanfaatkan kemudahan 16 Klinik Selcare serta tenaga mahir dimiliki anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Corporation Sdn Bhd,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Halimey yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata dos vaksin perlu diberi mengikut kepadatan penduduk negeri untuk memastikan PICK berjalan teratur, adil dan saksama.

“Titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya bilangan dos vaksin ditambah sangat bertepatan, memang jelas jumlah diberikan tidak adil,” katanya.

Kelmarin Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Baginda terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

Sultan Sharafuddin juga berharap jumlah PPV di negeri ini khususnya di luar bandar termasuk kaedah pandu lalu atau klinik bergerak ditambah bagi meluaskan liputan suntikan vaksin.

 


Pengarang :