Saifuddin Nasution
AGENDANASIONAL

KEADILAN: Tangguh kongres elak tindakan bawah Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 6 JUN: KEADILAN akur arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menangguhkan Kongres Nasional PKR 2020 yang dijadualkan hari ini dan akan mengumumkan tarikh baharu kongres itu kelak.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan meneruskan kongres boleh menyebabkan parti itu dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat.

“Kongres ini sepatutnya diadakan pada Disember tahun lalu, tetapi pada masa itu penangguhan 18 bulan dibenarkan kerana situasi Covid-19, tempoh penangguhan berakhir hari ini.

“Namun kita tangguh lagi ke satu tarikh hingga 30 Jun ini, dan ia juga masih mengambil kira situasi pandemik negara,” katanya pada sesi ‘Amanat Presiden PKR’ secara maya hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, PKR akan mendapatkan nasihat MKN serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum menyambung semula kongres tersebut supaya perkara sama tidak berulang.

MKN semalam menjelaskan Kongres Nasional KEADILAN ke-15 yang dijadualkan hari ini boleh ditangguhkan hingga 30 Jun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Rabin Basir berkata ia berdasarkan pandangan RoS berkenaan perkara itu.

Pengarah Kongres Nasional KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan semalam turut memaklumkan KEADILAN telah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada RoS, masing-masing pada 6.21 petang, Jumaat lepas, yang mengarahkan kongres berkenaan ditangguhkan.

Persidangan Kongres Nasional Wanita KEADILAN berlangsung Jumaat lepas manakala Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) diadakan semalam, kedua-duanya secara maya.

– BERNAMA


Pengarang :