Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 10 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kehadiran penduduk luar bandar ke program saringan Covid-19 memuaskan

SABAK BERNAM, 10 JUN: Saringan Komuniti Covid-19 terakhir untuk fasa kedua di Sekinchan dan Sungai Air Tawar menyaksikan kehadiran peserta melebihi pendaftaran awal.

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata meskipun jumlah kehadiran tidak seramai lokasi lain, namun jumlah itu dianggap memuaskan bagi kawasan luar bandar.

“Seramai 461 individu hadir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan setakat jam 12 tengah hari melebihi angka pra daftar 280 individu manakala di DUN Sungai Air Tawar, seramai 130 individu hadir melebihi pra daftar 85 individu.

Sebahagian besar peserta terdiri warga emas dan kita berpuas hati dengan kerjasama penduduk luar bandar sepanjang program saringan,” katanya ditemui di Dewan Seri Sekinchan di sini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut meluangkan masa meninjau program saringan tersebut.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di 56 DUN sejak 8 Mei hingga hari ini.

Sehingga Selasa lalu, sebanyak 95,561 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil dengan 3,330 daripadanya disyaki positif Covid-19.

Lebih 100,000 penduduk Selangor hadir melakukan Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri sejak diperkenal tahun lalu.


Pengarang :