Pelajar tingkatan lima Syazwin Nisa Saiful Hizam (kanan) bersama rakannya Nurul Huda Sukor tekun mendengar pembelajaran secara dalam talian bersama guru di kedai makan milik ayahnya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika tinjauan pada 15 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan belum cadang beri suntikan vaksin kepada calon SPM 2021

BATU GAJAH, 11 JUN: Kerajaan belum bercadang untuk memberikan suntikan vaksinasi kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata setakat ini pemberian vaksin adalah kepada golongan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu keutamaan kepada golongan warga emas, golongan 60 tahun ke atas dan ia perlu mengikut turutan fasa yang ditetapkan.

“Fokus sekarang ialah kepada warga emas kemudian orang yang berkepentingan seperti mereka yang mempunyai urusan untuk ke luar negara. Kita perlu ikut urutan golongan mana yang perlu mendapatkan vaksin dahulu.

Apabila kita buka sahaja fasa ketiga pemberian vaksin untuk golongan membabitkan dewasa berumur 18 tahun ke atas, jadi mereka boleh menerima suntikan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah hari ini.

Sebelum ini Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan mencadangkan agar calon SPM 2021 dan guru, wajar dipertimbang untuk disuntik vaksin Covid-19 supaya persiapan menghadapi peperiksaan itu tidak terjejas selain membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka.

– BERNAMA


Pengarang :