Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas seorang kanak-kanak pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna MBSA U5, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 kanak-kanak naik, ibu bapa diminta kawal pergerakan anak

SHAH ALAM, 2 JUN: Ibu bapa dinasihatkan melindungi anak daripada terdedah kepada jangkitan Covid-19 berikutan penularan jangkitan wabak semakin membimbangkan dalam kalangan bayi kurang setahun dan kanak-kanak bawah lima tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebagai penjaga ibu bapa perlu mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan golongan kanak-kanak memandangkan sistem pertahanan tubuh mereka belum matang.

“Oleh itu, mereka cenderung dijangkiti virus SARS-CoV-2. Kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Justeru, ibu bapa dan ahli masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin untuk memastikan persekitaran lebih selamat,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 82,341 kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak direkodkan dalam tempoh 29 Januari tahun lalu sehingga 31 Mei lepas.

Kumpulan individu berusia 13 hingga 17 tahun mencatat jumlah paling banyak iaitu 27,402 kes diikuti kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan 26,851 orang, sebulan hingga empat tahun (19,851) dan lima hingga enam tahun (8,237).

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihatkan ibu bapa mengamalkan empat langkah berikut bagi mengelakkan penularan wabak di kalangan kanak-kanak:

1. Pantau pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah, jangan keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran

2. Ibu bapa sebagai wakil keluarga perlu keluar membeli barangan dan tidak benarkan anak remaja mengunjungi tempat sesak serta berisiko tinggi

3. Pastikan anak memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan kendiri apabila terpaksa keluar rumah untuk urusan tidak boleh dielakkan seperti ke hospital atau klinik

4. Ibu bapa mempunyai bayi dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun perlu kekal berada di rumah dan jangan bawa anak ke tempat berisiko seperti pasar raya dan pasar awam


Pengarang :