Ahli Dewan Negeri Bukit LanjanElizabeth Wong
EXCOSELANGOR

Kes Covid-19 masih empat angka bukti darurat gagal

SHAH ALAM, 27 JUN: Pengisytiharan darurat sejak 11 Januari lalu perlu ditamatkan kerana terbukti gagal mengekang penularan Covid-19, kata wakil rakyat Bukit Lanjan.

Elizabeth Wong berkata kadar jangkitan harian dalam negara kekal mencatat empat angka meskipun langkah tersebut dilaksanakan sejak awal tahun.

“Memang ini adalah masa tepat untuk kita menyatakan (kerajaan) perlu habiskan tempoh (darurat) ditetapkan cepat-cepat dan tidak sepatutnya dipanjangkan lagi.

“Data harian jelas menunjukkan kes Covid-19 tidak dapat dikurangkan, jadi apa maksudnya dengan pengisytiharan darurat jika ia tidak memenuhi hasrat atau objektif diperkatakan ?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara melawan wabak, melangkau politik yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sebelum ini Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengeluarkan proklamasi darurat berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu wajar diambil berdasarkan peruntukan perlembagaan persekutuan menggariskan ancaman terhadap ekonomi merupakan asas proklamasi darurat dibuat.

 


Pengarang :