Selangorkini
Tinjauan orang ramai di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada 17 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kes harian Covid-19 meningkat semula, catat 7,105 kes

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Jumlah kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini meningkat sedikit dengan merekodkan 7,105 berbanding 6,824 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi catatan di Twitter, Dr Noor Hisham berkata peningkatan sebanyak 281 kes itu menjadikan jumlah kumulatif 579,462 kes direkodkan setakat ini.

Menurut beliau, Selangor masih menyumbang kes harian tertinggi sebanyak 2,068 kes diikuti Kuala Lumpur (817); Sarawak (703); Kelantan (531); Johor (431); Pulau Pinang (400); Negeri Sembilan (397); Perak (387) dan Sabah (318).

Selain itu, Melaka mencatat 249 kes; Kedah (236); Terengganu (198); Pahang (190); Labuan (162); Putrajaya (18); manakala di Perlis tiada kes direkodkan.

Sementara itu, menerusi kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah itu, 7,103 kes baharu melibatkan penularan tempatan manakala baki dua kes import.

Katanya jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lepas adalah 6,083, menjadikan jumlah kumulatif 496,121 kes, manakala kes aktif kini sebanyak 80,474 kes.

Beliau memaklumkan terdapat 71 kematian hari ini melibatkan 28 kes di Selangor, Johor (lapan), Sarawak (tujuh), Kuala Lumpur (enam), Kelantan (lima), Melaka (empat), Kedah (tiga), masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak serta masing-masing satu di Sabah, Pahang, Labuan, dan Pulau Pinang.

Jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini sebanyak 872 kes dengan 419 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya.

Beliau berkata terdapat 27 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan 13 kluster tempat kerja, lapan kluster komuniti, tiga kluster keagamaan, dan masing-masing satu kluster pendidikan lain, institusi pendidikan berdaftar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kumpulan berisiko tinggi, menjadikan jumlah kluster aktif kini 668 kluster.

Dr Noor Hisham berkata kluster tempat kerja itu melibatkan Kluster Jalan Enggang, Persiaran Bestari, Batu Empat Kampung Jawa dan Jalan Setia Perdana di Selangor; Kluster Jalan NIP Dua, Jalan Dataran Larkin Tiga dan Jalan Suka Ria di Johor serta Kluster Jalan Haji Lampam (Sarawak) dan Kluster Panchor di Kelantan.

Kluster tempat kerja juga melibatkan Kuster Hala Kampung Jawa Dua dan Lebuh Kampung Jawa di Pulau Pinang; Kluster Jalan Semarak di Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Greentown Dua di Perak.

Lapan kluster komuniti pula melibatkan Kluster Kampung Paloh Chicha Tinggi, Lubok Kuin dan Kampung Bukit Bidang (Kelantan); Kluster Tengah Hulu Gedong di Sarawak; Kluster Linggiu (Johor); Kluster Belah Dua (Pulau Pinang); Kluster Indah Paka (Terengganu) serta Kluster Teluk Muroh di Perak.

Bagi kluster keagamaan ia melibatkan Kluster Taman Kerian Tambahan dan Parit Haji Wahab di Perak serta Parit Babok di Johor manakala kluster pendidikan lain ialah Kluster Kampung Menjual di Kelantan.

Selain itu, kluster institusi pendidikan berdaftar KPM melibatkan Kluster Jalan Taman Sri Selising di Kelantan dan kluster kumpulan berisiko tinggi pula melibatkan Kluster Persiaran Raja Chulan di Kuala Lumpur.

– BERNAMA


Pengarang :