Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Kes kanak-kanak maut, masuk ICU akibat Covid-19 meningkat ketara

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kes kritikal dan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun dilaporkan meningkatkan pada tahun ini berbanding tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memaklumkan tiga kes kematian bagi golongan itu dilaporkan sepanjang tahun lepas namun bilangan sama direkodkan dalam tempoh lebih singkat pada tahun ini iaitu dalam tempoh lima bulan pertama.

“Selain itu, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Pada tahun 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU ialah lapan kes dengan enam daripadanya berumur bawah lima tahun.

“Bagi tahun 2021 (sehingga Mei 2021), sebanyak 27 kes memerlukan rawatan di ICU dan 19 daripadanya adalah kanak-kanak berumur bawah lima tahun,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Justeru Dr Noor Hisham menasihati semua pihak terutama ibu bapa dan penjaga untuk memainkan peranan penting bagi melindungi golongan yang mempunyai imuniti rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar daripada wabak itu.

Beliau sekali lagi mengajak orang ramai membina persekitaran selamat bagi kelompok itu dengan mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai dan segera mendapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak.

– BERNAMA


Pengarang :