Anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama agensi lain menjalankan pemeriksaan di kilang baja ofrganik kompos di Hulu Selangor pada 17 Jun 2021. Foto Facebook JAS
AGENSISELANGOR

Kilang baja organik kompos disyaki terbabit cemar air diserbu

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti membuat baja organik kompos di Hulu Selangor diserbu semalam selepas dipercayai terlibat dengan pencemaran air awal Jun ini.

Serbuan itu dlakukan dalam operasi bersepadu melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan polis.

JAS memaklumkan keadaan kilang itu tidak terurus dan terdedah menyebabkan air hujan bercampur dengan sisa pokok serta bahan organik menghasilkan air hitam yang busuk.

“Penghasilan air tersebut seterusnya mengalir keluar ke longkang premis sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air dan bau.

“Pemeriksaan juga mendapati kilang ini tidak memiliki sebarang lesen daripada MDHS dan beroperasi tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada JAS,” katanya menerusi Facebook.

Jabatan itu turut memaklumkan kilang tersebut mendapat kelulusan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atas faktor perkhidmatan perlu.

“Tindakan penahanan operasi kelengkapan ke atas peralatan proses telah dikenakan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan lanjut,” jelasnya.


Pengarang :