Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM ingatkan varian membimbangkan VOC sudah menular dalam komuniti

SHAH ALAM, 1 JUN: Hampir semua negeri melaporkan sekurang-kurangnya satu jenis varian membimbangkan (VOC) dengan penularan lebih meluas dalam komuniti.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) situasi itu perlu diambil serius setiap individu berikutan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.

“Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ia akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Mengikut data dikongsi KKM, secara keseluruhan, terdapat 199 kes positif Covid-19 membabitkan 104 VOC iaitu B.1.135, B.1.1.7 dan B.1.167 selain baki 95 kes ialah varian mempunyai kepentingan (VOI) iaitu B.1.525 dan P.3 di seluruh negara, sehingga semalam.

Selangor merekodkan kes positif Covid-19 kategori VOC tertinggi dengan 42 kes, diikuti Sarawak 20 kes iaitu tujuh kategori VOC dan 13 (VOI).

Sebanyak 18 kes positif Covid-19 kategori VOC dicatatkan di Kelantan, Kuala Lumpur pula 11 kes dengan sembilan daripadanya membabitkan VOC.

Perak merekodkan 10 kes Covid-19 kategori VOC, tujuh di Kedah, tiga di Pulau Pinang masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Johor dan Perlis.

Masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.


Pengarang :