Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM kesan 22 varian baharu membimbangkan, tiga di Selangor

SHAH ALAM, 20 JUN: Sebanyak 22 kes varian baharu membimbangkan (VOC) virus SARS-CoV-2 dikesan seluruh negara termasuk tiga di Selangor sepanjang 11 Jun hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 14 kes merupakan varian Beta (B.1.351) manakala lapan adalah varian Delta (B.1.617.2).

“Varian Beta dikesan masing-masing tiga di Selangor, Sabah dan Terengganu; Kedah (dua) manakala Perak, Johor dan Kelantan (masing-masing satu).

“Delta pula direkodkan masing-masing dua di Johor, Labuan dan Negeri Sembilan manakala Perlis dan Pulau Pinang (masing-masing satu),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya sehingga semalam keseluruhan jangkitan virus itu meningkat kepada 183 kes melibatkan 167 VOC serta 16 merupakan VOI (varian yang perlu diberikan perhatian).

“Kementerian Kesihatan akan terus mengesan virus SARS-CoV-2 dan memperbanyakkan saringan Covid-19 serta mengesan kontak bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti.

“Masyarakat diminta mendaftar pengambilan vaksin untuk membentuk imuniti kelompok,” katanya.


Pengarang :