Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM wujud tiga pusat panggilan bantu CAC, satu di Selangor

SHAH ALAM, 9 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) akan mewujudkan tiga pusat panggilan bagi menambah baik proses pemantauan pesakit oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Ketua pengarah kesihatan berkata sebagai permulaan ia dibina di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai kes wabak yang tinggi.

“Pusat itu akan menerima panggilan daripada pesakit bergejala untuk disalurkan ke CAC berkaitan dan menjawab pertanyaan berkaitan pemantauan kendiri di rumah.

“Ia juga menyalurkan panggilan kecemasan ke Perkhidmatan Sistem Panggilan Kecemasan (MERS 999),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata KKM juga akan menambah jumlah talian telefon di 33 CAC di tiga negeri terbabit bagi mengurangkan kesesakan talian.

“Ini kerana terdapat peningkatan mendadak sejak April lalu sehingga memberikan beban tugas kepada anggota di CAC.

“Terdapat peningkatan sehingga 150 peratus daripada jumlah kedatangan pesakit ke CAC, iaitu 4,000 sehari ke 10,000 sehari pada 5 Jun lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata peningkatan kes menyebabkan panggilan ke CAC tidak berjawab dan situasi tersebut mendatangkan kegelisahan kepada pesakit yang menjalani pemantauan di rumah.


Pengarang :