Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Koyak

Oleh Ruhaini Matdarin

Ilustrasi Matarojit

Perjalanan pulang selama dua jam dari Kota Kinabalu ke Beaufort terasa begitu singkat kerana kepulangannya bersama-sama dengan buah hati yang dinikahi tiga hari lalu. Udara lembab kerana musim tengkujuh menyebabkan keinginannya untuk bermesra dengan isteri semakin membuak-buak. Sejak bernikah dia belum mendapat kesempatan berada dekat dengan isterinya seperti sekarang, kerana ruang dalam rumah orang tua isterinya yang kecil dan padat. Dia tersenyum mengenang selama empat malam mereka tidur berasingan, isterinya tidur di kamar bersama-sama dua orang adik perempuannya dan dia tidur di ruang tamu ditemani ayah mentua serta abang-abang isterinya yang tidak pernah berhenti berbual tentang apa-apa sahaja sehingga dinihari. 

Si isteri mulai bertumpu ke luar jalan ketika mereka memasuki kawasan pekan, membiarkan si suami bercakap-cakap tentang rumah warisan yang sekian lama menunggu mereka pulang untuk menghuninya. Si suami bercerita tentang bagaimana dia meluangkan waktu selama berminggu-minggu mengecat dan membaik pulih apa-apa yang perlu sebagai persiapan membawa calon ibu kepada anak-anaknya masuk ke dalam rumah yang sudah ditukar warna lebih ceria supaya si isteri selesa menghabiskan usia dan mereka menua bersama-sama waktu di rumah itu dengan beberapa orang zuriat – dia memasang angan-angan dikurniakan dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. 

Sepanjang pemanduan 70-90 km sejam (kenderaan itu uzur dan bergegar jika dipandu laju) menuju ke kampung halaman orang tuanya, dia berkisah tentang rumah yang sudah hampir empat tahun tidak berpenghuni, terletak di hujung kampung, dekat dengan semak belukar tetapi selama hayatnya dia belum pernah mendengar arwah bapanya merungut tentang haiwan berbisa yang pernah masuk ke dalam rumah mereka. Arwah bapaku memasang pendinding di sekeliling rumah; katanya kepada si isteri yang senyum nipis mencicipi jagung manis buat mengusir kesepian dalam ruang kenderaan yang penyaman udaranya berbau seperti besi berkarat sehingga mendorong wanita itu menurunkan sedikit kaca tingkap dan si suami yang menyedarinya segera menutup penyaman udara bagi mengalirkan udara segar dari luar.

“Sekejap lagi kita sampai ke rumah kita, Neng,” suaranya bergetar menahan rasa teruja – dan kerana dia menahan kencing yang sudah di hujung-hujung, seraya menambah kelajuan pemanduan ketika memasuki denai yang basah. “Neng sejuk?”

Si isteri menggeleng seraya menurunkan habis kaca tingkap, kepalanya dikeluarkan dan tangan kanannya dibolak-balik ke udara bagi merasa angin yang mencium kulitnya yang coklat gelap. Senja datang dengan cepat ke tempat tersebut kerana cahaya ditelan rimbunan daun-daun dari ratusan pokok agam di kiri dan kanan mereka dan kicauan burung mengiringi kenderaan tua itu yang terbatuk-batuk melawan jalan yang basah, berlubang sini-sana dan banyak kali dia berhenti keluar untuk mengalihkan hadangan ranting-ranting tua yang besarnya seperti saiz paha manusia dewasa yang menghidap obesiti. 

Dia tidak sabar-sabar ingin memulakan kehidupan baharu dan lari jauh daripada masa silamnya (yang pahit) di ibu kota. Dan, hari ini impiannya menjadi kenyataan sejurus sahaja kenderaan dipandunya memasuki halaman rumah separuh papan dan separuh batu dua tingkat yang bersaiz sederhana tetapi memandangkan ia satu-satunya rumah di kawasan tersebut, ia kelihatan agam sekali gus menyeramkan kerana di belakangnya belukar setinggi bangunan pencakar langit, meskipun rumah itu berpagar tetapi papan-papan pagar yang setinggi paras pinggang manusia dewasa dilitupi oleh tumbuhan menjalar yang kelihatan seperti ular-ular dahan, meliuk-liuk ditiup angin. 

“Abang kata rumah abang yang paling cantik di kampung ini?” 

“Tidakkah begitu?”

Si isteri termengkelan dan terpaku beberapa ketika di tempat duduknya meskipun si suami telah membantu membukakan pintu kenderaan. Disebabkan ada tanda-tanda hujan lebat bakal turun, si suami membawa keluar beg pakaian serta oleh-oleh dalam bekas yang dititipkan oleh keluarga mertuanya, semuanya diletak di depan pintu, dia mendapatkan si isteri dalam kenderaan dan mengajaknya masuk ke dalam rumah kerana rintik-rintik hujan sudah jatuh ke tanah. Sejurus sahaja daun pintu terkuak, bau tumisan dari arah dapur menerobos hidung mereka, dan radio lama (kepunyaan arwah datuknya) terpasang di meja kayu dekat jendela di sudut kiri ruang tamu. Dia memetik suis lampu, gelap ditelan terang, habuk serta puntung rokok bersepah merata-rata. 

Si suami berlari ke dapur, menutup api pada dapur gas sambil terbatuk kerana bau bawang putih hangus menusuk hidungnya. Paip air yang mencurah di sinki ditutup, matanya membuntang melihat kulit telur, tin sardin, plastik makanan serta pinggan mangkuk yang bertimpa-timpa di atas meja penyimpanan. Dia menghamun dalam hati tetapi hanya sekejap kerana pekikan si isteri mendorongnya berlari semula ke ruang tamu, seorang lelaki yang menutupi wajah dengan seluar dalam – lelaki itu berseluar pendek dan bersinglet dan memakai selipar rumah miliknya, meletak pisau pemotong daging ke leher isterinya dan mengacah-acah bakal menyakiti wanita itu sekiranya dia mara selangkah lagi. 

Dia angkat kedua-dua tangan seperti orang membaca ikrar. “Apa-apa hal kita boleh bincang.”

“Bincang katamu?”

Suara lelaki itu menyebabkan dia mematung di tempatnya berdiri. Dunia di belakangnya mengecut, entah kenapa dia memikirkan tentang pengakhiran kepada permulaan yang begitu singkat. Tidak semena-mena lelaki itu menolak isterinya dengan kuat sehingga terdorong laju ke arahnya dan dia juga terdorong dua langkah ke belakang bagi mengelak isterinya jatuh bersama-samanya, seraya menanggalkan seluar dalam lusuh kekuningan yang dijadikan topeng muka. Lelaki itu senyum sinis menyerlahkan kedutan pada wajahnya sehinggakan parut-parut yang bersilang pada pipi kirinya terangkat bersama-sama senyumannya yang memancarkan niat jahat. 

“Kau bawa aku berbincang di rumah aku sendiri?” 

Si isteri yang dalam pelukan si suami perlahan-lahan melepaskan diri dan memandang wajah si suami yang jelas terperanjat dengan pertanyaan serta kenyataan yang meluncur laju dari mulut lelaki berbau tembakau di depan mereka. 

“Abang kata ini rumah abang?” si isteri mulai menangis.

Si suami menarik kedua-dua tangan si isteri dan mendorongnya ke bilik stor bersebelahan dapur, menolak tubuh rincing wanita itu ke dalam, lalu menguncinya dan kembali ke ruang tamu. Merenung tajam lelaki di depannya yang kelihatannya tidak peduli dengan suasana tegang antara dia dan isterinya. 

“Isteri kau tahu kau bekas banduan?”

Dentuman guruh menyebabkan dinding rumah bergetar, dan mereka saling berpandangan, dalam hujan yang turun lebat. Kedua-duanya mengelak untuk mengenang bahawa mereka saling mengenali ketika berada dalam penjara dan bebas pada waktu hampir sama.

“Kau jangan rosakkan apa-apa yang baru aku bina.”

“Aku cuma tumpang berteduh di rumah ini bukan merompak, lagipun aku tak tahu ini rumah siapa, kosong terbiar. Sejak kita bebas, keluargaku dan masyarakat menolak aku dari hidup mereka padahal aku mahu berubah.”

Sunyi paling sepi mengoyak suasana. 


Pengarang :