Penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa harga barangan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

KPDNHEP saran peniaga bungkus barang keperluan elak jangkitan wabak

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Premis perniagaan dicadangkan agar mengikat atau membungkus barangan keperluan harian dan tidak dilonggok di dalam satu tempat bagi menjimatkan masa pembeli daripada memilih atau membelek dan memegang barangan tersebut seterusnya mengurangkan kadar jangkitan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata ini kerana sekiranya seseorang pembeli itu didapati positif Covid-19, maka barangan yang dipegangnya tadi berkemungkinan mempunyai virus itu seterusnya mendatangkan kemudaratan kepada pembeli lain yang memeriksa barangan sama.

“Saya minta pihak pengurusan premis perniagaan untuk fikirkan bagaimana hendak kurangkan pemilihan barangan. Sebagai contoh ayam, kita tahu orang awam nak pilih yang terbaik…tetapi ayam itu sama sahaja namun mereka tetap nak pilih.

“Akan tetapi sekarang kita berada dalam norma baharu dan setiap barangan mempunyai kualiti yang sama baik, maka pilih (ambil) sahaja,” katanya selepas membuat pemeriksaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di NSK Kuchai Lama hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihak pengurusan juga perlu memberi jaminan bahawa barangan yang diikat itu baik dan tidak mendapat sebarang rungutan atau keluhan orang awam tehadap kualiti barangan keperluan tersebut.

“Maka orang awam akan biasakan situasi begini. Jika tidak, kita pun akan susah sekiranya terdapat kerosakan atau barang tersebut kurang kualitinya,” katanya dan menambah premis perniagaan yang menjual barangan keperluan asas juga perlu mencari pendekatan agar jumlah pembeli di dalam premis bagi satu-satu masa tidak terlalu ramai.

Dalam perkembangan lain, Santhara berkata sebanyak 137 pemeriksaan pematuhan SOP dijalankan di sekitar Kuala Lumpur sejak Selasa lepas hingga semalam dan dua kompaun dikeluarkan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM20,000 kerana premis tidak mematuhi waktu perniagaan.

-BERNAMA


Pengarang :