AGENDANASIONAL

KPDNHEP serbu premis seleweng minyak masak lebih 1 juta kg

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Sebuah premis pemborong minyak masak di Bandar Tun Razak di sini diserbu selepas disyaki menyeleweng minyak masak dianggarkan berjumlah 1.6 juta kilogram sejak April lepas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata serbuan dilakukan pada 12 tengah hari semalam menerusi Operasi Penyelewengan Bekalan Minyak Masak susulan laporan dan maklumat yang diterima berhubung kegiatan itu.

Beliau berkata premis berlesen itu beroperasi sejak Mac lepas dengan mendapatkan sumber bekalan minyak masak dari pengilang dan pembungkus di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang serta dipercayai dijual kepada sebuah syarikat tidak berlesen di Johor Bahru, Johor.

“Jumlah bekalan yang dibekalkan kepada syarikat tidak berlesen berkenaan sejak April lepas sehingga sekarang dianggarkan sebanyak 1.6 juta kilogram melibatkan nilai subsidi RM960,000,” katanya dalam sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP KL di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik premis terbabit yang juga seorang warga tempatan berusia 40 tahun telah diambil keterangan manakala beberapa dokumen disita untuk siasatan lanjut.

Nurul Syarina berkata bekalan minyak masak bersubsidi berkenaan juga dipercayai dieksport ke luar negara dan kegiatan itu menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana membekalkan barang kawalan iaitu minyak masak kepada pihak yang tidak berlesen.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas semua rangkaian pengedaran minyak masak bagi memastikan bahan itu sentiasa ada di pasaran dan tidak diseleweng pihak tidak bertangggungjawab.

-BERNAMA


Pengarang :