(Gambar hiasan) Kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok Siti Samihah Mohd Zain, 33, melakukan kerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KSM terima banyak aduan majikan tidak benar kerja dari rumah

ALOR SETAR, 27 JUN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima sebanyak 3,737 aduan berkaitan pelbagai isu pemburuhan terutamanya berkaitan Bekerja Dari Rumah (BDR) menerusi aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW), yang dilancarkan pada awal Mei lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,769 aduan melibatkan kes majikan tidak membenarkan pekerja untuk BDR dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Aduan paling tinggi yang diterima menerusi WFW ini ialah majikan memaksa pekerja untuk datang bekerja di pejabat walaupun tidak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Sepatutnya, majikan hanya benarkan 60 peratus pekerja datang bekerja di pejabat (bagi sektor yang dibenarkan) manakala selebihnya bekerja secara BDR. Tetapi, ada yang kita dapati majikan menyuruh 100 peratus pekerjanya datang bekerja di pejabat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai Operasi Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di sebuah kilang di Jitra yang menghasilkan produk jenis makanan kesihatan, penjagaan diri dan kosmetik yang turut disertai agensi lain termasuk polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Awang berkata KSM menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah melakukan pemeriksaan terhadap 19,981 majikan yang melibatkan 108,877 tempat penginapan di seluruh negara.

“Sehingga hari ini, sebanyak 757 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2019) yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan dan daripada jumlah itu, 125 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan.

“Kesalahan paling banyak ialah majikan tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja. Selepas ini, kita akan sediakan satu akta yang mewajibkan majikan menyediakan penginapan berpusat, kalau jadi apa-apa senang untuk kita kawal dan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru supaya semua pemain industri agar sentiasa berusaha patuh kepada akta dan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 selain mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

– BERNAMA


Pengarang :