Seorang rakyat Palestin mengebarkan bendera tanda solidariti buat negaranya di Washington, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2021. Foto AFP
EXCOSELANGOR

Kutipan tabung Palestin hampir RM500,000, dilanjut dua minggu lagi

SHAH ALAM, 15 JUN: Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang mengutip hampir RM500,000 akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 Jun.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tabung membantu rakyat Palestin yang dibuka sejak 19 Mei dilanjutkan bagi mencapai sasaran kutipan RM1 juta.

“Kita sedang kemaskini dengan agensi dan wakil rakyat yang janji beri sumbangan. Mereka maklum ada kekangan untuk buat keputusan sebab perlu had kakitangan di pejabat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, kita beri kelonggaran lanjutan masa supaya mereka ada ruang beri kelulusan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau ditemui pada program Selangor Prihatin Asatizah di perkarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menyeru masyarakat untuk turut menyumbang sebagai tanda solidariti meskipun tiada lagi peperangan tercetus di wilayah bergolak itu.

“Kemusnahan yang berlaku mengakibatkan mereka tiada tempat berteduh dan hilang pekerjaan, malah pengangguran juga tinggi. Mereka bergantung penuh kepada bantuan antarabangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Kerajaan Negeri melancar tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan lagi susulan PKP.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

 


Pengarang :