Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap pemilik sebuah kilang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
ADNPBTSELANGOR

Langgar SOP, MPK kompaun pemilik kilang RM10,000

SHAH ALAM, 18 JUN: Pemilik sebuah kilang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang dikompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang berkata tindakan dikenakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika operasi pemeriksaan dan pemantauan SOP terhadap premis terbabit semalam.

“Hasil siasatan mendapati kilang itu tidak mendapat surat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan masih beroperasi seperti biasa.

“Justeru, MPK mengeluarkan kompaun dan akan terus memantau semua aktiviti perkilangan sepanjang PKP bagi memastikan tiada pelanggaran SOP,” kata Azmizan Zaman Huri menerusi Facebook.

Beliau berkata tindakan diambil pihak berkuasa tempatan itu mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LDKTJ) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) 2021.

Katanya, orang ramai diminta bekerjasama bagi membuat aduan kepada MPK jika mendapati ada kilang beroperasi tanpa kebenaran Miti melalui talian khas pantas Covid-19 03-33701095.

Media sebelum ini melaporkan, PBT diberi kuasa mengenakan kompaun kepada individu yang melakukan apa-apa kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


Pengarang :