Usahawan Syamsul Amir Ahmad ketika ditemu bual Media Selangor selepas sesi Lawatan Kembara Sukses Hijrah di kedai aksesori telefon bimbit, Cikgu Gadget, Sungai Besar pada 21 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Lanjutan PKP: Pendapatan terjejas, peniaga runsing nasib pekerja

SHAH ALAM, 16 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang disambung sehingga 28 Jun ini menambah beban kerugian perlu ditanggung seorang pemilik kedai eksesori telefon bimbit.

Pemilik kedai Cikgu Gadget, Syamsul Amir Ahmad, 41, mendakwa lima premisnya tidak dibenarkan beroperasi menyebabkannya mengalami kerugian lebih RM30,000 sepanjang dua minggu fasa pertama PKP penuh.

Usahawan itu yang dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) turut runsing mengenangkan nasib sembilan pekerjanya dengan dua daripadanya terpaksa diberi cuti tanpa gaji kerana situasi mendesak ketika ini.

“Purata pendapatan dijana sekitar RM3,000 sehari, jika 10 hari sudah RM30,000…sebulan kos operasi merangkumi sewa, gaji pekerja cecah RM20,000, namun bukan semua premis dapat pengurangan kadar sewa.

“Bagi memastikan kebajikan pekerja terpelihara kaedah jualan dalam talian diguna, namun hasilnya tidak seberapa dan bayaran gaji terpaksa bergantung pada hasil jualan ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Dia yang baru sahaja melabur puluhan ribu bagi membuka satu lagi premis di Sabak Bernam bulan lalu memaklumkan perlu mencari kaedah lain bagi memastikan perniagaan terus beroperasi.

“Saya harap kerajaan dapat bantu dan cari kaedah terbaik termasuk pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih adil,” katanya yang mendakwa terdapat perniagaan tertentu yang dibenarkan menjual aksesori telefon bimbit.

Dalam pada itu Syamsul bersyukur pinjaman RM50,000 daripada Hijrah kini hampir selesai dan pemberian moratorium melalui Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum pada 9 Jun mengurangkan beban yang ditanggungnya ketika ini.


Pengarang :