EXCO Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim meninjau lokasi runtuhan perancah besi tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash), Petaling Jaya. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Laporan perancah besi jatuh diperoleh dalam dua minggu

SHAH ALAM, 21 JUN: Laporan siasatan berhubung insiden runtuhan perancah besi di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) diperoleh dalam tempoh dua minggu, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pihak konsultan sedang menentukan sama ada terdapat unsur jenayah atau kelalaian berhubung insiden itu.

“Kita perlu menunggu laporan sebelum menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil selain kebenaran untuk meneruskan semula pembinaan lebuh raya.

“Buat masa ini, maklumat awal diterima tiada yang luar biasa dan pemaju mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan selain perancah besi itu turut digunakan dalam pembinaan sebelum ini,” katanya ditemui pemberita selepas meninjau lokasi insiden hari ini.

Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) diarahkan mengambil langkah tambahan untuk memastikan tapak pembinaan tidak membahayakan keselamatan pekerja dan orang awam.

Kejadian pada kelmarin menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh manakala seorang lagi cedera.


Pengarang :