Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) berbual dengan penerima vaksin ketika meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 50,000 syarikat tempah bekalan vaksin Selangor

PETALING JAYA, 30 JUN: Lebih 50,000 syarikat membuat tempahan untuk mendapatkan bekalan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tempahan sehingga 16 Jun turut menyaksikan lebih dua juta pekerja didaftarkan dalam program berkenaan.

“Sebab itu kita yakin ia mampu mempercepatkan proses suntikan vaksin peringkat Selangor dan mencapai imuniti kelompok.

“Ia bukan sahaja usaha Kerajaan Negeri tetapi syarikat dan kilang yang mahu bersama kita untuk menyelesaikan masalah ini dan berjuang melawan Covid-19,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum itu, beliau meninjau proses suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Selvax di Tropicana Garden Mall di sini.

Lokasi tersebut antara enam PPV mega yang disediakan Kerajaan Negeri selain Evo Mall, Bangi; Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya; De Palma Hotel, Shah Alam serta Aurora Mall, Bukit Jalil.

Selangor menyediakan dua juta dos vaksin kepada sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak Covid-19 di tempat kerja.

Inisiatif melalui Selvax Industri hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu untuk melengkapkan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Antara syarikat besar yang terlibat ialah 99 Speed Mart, Ernst & Young, Telekom Malaysia, Touch n Go dan syarikat binaan EcoWorld dan Tropicana.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :