Gimik pelancaran oleh Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman ketika Pelancaran Karnival Jom E-Bil Air Selangor di The Curve, Damansara pada 18 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 500,000 pelanggan Air Selangor terima bil melalui e-mel, WhatsApp

SHAH ALAM, 30 JUN: Seramai 590,625 pelanggan domestik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendaftar untuk menerima bil air secara elektronik sehingga akhir tahun lalu.

Ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata jumlah itu membuktikan penerimaan pengguna terhadap e-Bil amat menggalakkan selaras sokongan ke arah ‘Go Green’.

Suhaimi Kamaralzaman menjelaskan kaedah tersebut berjaya mengurangkan 25 peratus kadar penggunaan kertas untuk bil fizikal dari 396,617 kilogram (kg) pada 2019 kepada 297,380 kg tahun lalu.

“Kempen dilaksana sejak awal tahun lepas mendorong lebih ramai pelanggan beralih ke e-Bil. Selain itu sebanyak 234 aktiviti libat urus untuk mempromosi penggunaan e-Bil dalam kalangan pelanggan turut dilaksanakan.

“Inisiatif ini menyelamatkan 2,620 pokok yang digunakan untuk salinan bil fizikal kepada pelanggan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan laporan kelestarian 2020 secara maya hari ini.

Suhaimi berkata bil digital membantu pelanggan membayar bil dengan mudah, selamat dan cepat tanpa mengira masa dengan menggunakan telefon pintar.

Pelanggan boleh mendaftar di https://update.airselangor.com untuk menerima bil melalui e-mel.

Manakala, mereka yang ingin mendapat bil melalui WhatsApp perlu memastikan nombor telefon didaftarkan betul dan boleh menerima mesej menerusi aplikasi berkenaan.

Syarikat itu juga menggalakkan pelanggan memuat turun aplikasi Air Selangor menerusi App Store atau Google Play untuk maklumat semasa bekalan air atau semakan bil air.

 


Pengarang :