Ir Izham Hashim meninjau kerja semburan racun dan kawalan bersepadu serangga perosak yang menyerang tanaman padi di Sabak Bernam pada 10 Jun 2021. Foto Facebook Ir Izham Hashim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 600 hektar kawasan padi diserang serangga perosak disembur racun

SHAH ALAM, 23 JUN: Lebih 600 daripada 6,632.4 hektar kawasan tanaman padi di Sabak Bernam yang diserang serangga perosak sudah disembur racun berkesan setakat ini.

EXCO pertanian berkata proses semburan racun disyor pakar kawalan penyakit ulat pengorek batang dan ulat gulung daun di kawasan terbabit dilaksana secara berperingkat bermula dua minggu lalu.

“Saya sendiri melakukan lawatan baru-baru ini untuk melihat kerja kawalan bersepadu itu dijalankan. Segalanya berjalan lancar dan dijangka selesai sepenuhnya akhir tahun ini,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, beliau turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi kepada pesawah yang mengalami kerugian ekoran masalah terbabit.

Pada 1 Jun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan dana berjumlah RM1.035 juta untuk membasmi serangga perosak padi di kawasan terlibat.

Susulan itu, MAFI mengambil beberapa langkah termasuk menggunakan racun untuk kawalan yang dilakukan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri di Panchang Bedena dan Bagan Terap / Sungai Panjang.

Kawalan penyakit berkenaan perlu dipercepat bagi mengelak pengurangan hasil padi antara 70 hingga 80 peratus.


Pengarang :