Jururawat menyuntik vaksin jenis Sinovac kepada orang awam di pusat pemberian vaksin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam yang mula beroperasi pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lelaki OKU fobia jarum beranikan diri ambil vaksin

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Meskipun fobia dengan jarum, seorang lelaki kelainan upaya (OKU) tetap memberanikan diri mengambil suntikan pelalian Covid-19.

Hadir berkerusi roda, Ramli Muhusim, 58, yang ditemani isteri selesai menerima dos pertama vaksin jenis Sinovac dalam tempoh kurang lima minit.

Dia yang retak tulang pinggul akibat kemalangan jalan raya kira-kira 14 tahun lalu mengakui lega berikutan takut jarum sejak kecil selain bimbang kesan sampingan.

Ramli Muhusim

“Sejujurnya saya memang tidak mahu disuntik tetapi nama sudah didaftarkan sebagai penerima. Dua hari sebelum tarikh janji temu, perasaan saya bercampur baur. Takut pada vaksin ada, takut pada jarum pun ada.

“Bagaimanapun, sepanjang perjalanan ke sini saya berdoa semoga segala urusan berjalan dengan baik. Alhamdulillah, tidak rasa apa-apa, proses suntikan sangat mudah dan cepat,” katanya yang menetap di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh.

Ramli antara 500 individu yang mendapat suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam yang beroperasi hari ini.

Norliza Jumri, 58, pula menyifatkan suntikan pelalian penting untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 terutama warga emas dan individu yang menghidap sakit kronik.

Norliza Jumri

“Lagi cepat dapat vaksin lagi bagus sebab kita tidak boleh rawat sendiri. Sekarang kita bimbang orang yang sistem imunisasi badan lemah sangat mudah dijangkiti Covid-19,” kata pesara kerajaan itu.

UiTM Puncak Alam antara tiga universiti awam yang terpilih sebagai PPV berskala besar untuk program suntikan vaksin kebangsaan. Dua lagi adalah Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Proses pemberian vaksin berkonsepkan hibrid di UiTM berlangsung sehingga Oktober dan mampu mengurus sehingga 5,000 individu sehari secara berperingkat.

 


Pengarang :