(Hiasan) Seorang buruh kontrak didenda RM3,000 selepas didapati bersalah menggunakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran seorang bayi perempuan dua tahun lalu. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Lelaki ugut ibu kandung guna pisau dijel tujuh bulan

PETALING JAYA, 22 JUN: Seorang lelaki yang melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya menggunakan pisau kerana wanita itu enggan memberikan wang untuknya membeli dadah dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret M. Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Mahendran, 23, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap P. Kalaivaini, 50, di sebuah unit pangsapuri di Pelangi Damansara, PJU 6, Persiaran Surian di sini, pada 9 malam, 18 Jun lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jun lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang mengamuk telah meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah sambil mengacukan pisau ke arah wanita itu dan berkata “mahu duit, jika tak ada duit mahu kasi potong”.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara mengambil kira faktor mangsa yang diugut adalah ibu kandung tertuduh yang sepatutnya dilindungi, namun Mahendran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara minimum atas alasan dia mabuk ketika kejadian itu.

– BERNAMA


Pengarang :