AGENDANASIONAL

LLM diarah sedia laporan insiden perancah besi jatuh dalam seminggu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB) diarah menyediakan laporan lengkap dalam tempoh seminggu berhubung insiden perancah besi jatuh di kawasan pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), semalam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden yang berlaku di persimpangan bertingkat Kota Damansara, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 7.15 malam itu juga akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut kementerian itu, kejadian tersebut berlaku di lokasi kelima daripada keseluruhan 14 lokasi di kawasan itu yang sedang menjalankan kerja-kerja dengan mengguna pakai kaedah kejuruteraan yang sama dengan empat daripadanya dilaporkan telah siap.

“Untuk makluman, semasa kerja-kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan adalah ditutup sepenuhnya kepada pengguna sepertimana prosedur yang telah ditetapkan.

“Semakan awal LLM menunjukkan reka bentuk perancah adalah teratur dan disahkan jurutera perunding. Baki kerja melibatkan 10 lokasi hanya boleh diteruskan setelah laporan audit oleh pihak Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” maklum kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KKR yang kesal dengan kejadian itu juga telah mengarahkan pihak konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) menghentikan serta-merta kerja yang melibatkan struktur sementara.

Selain itu, syarikat berkenaan juga diminta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada dua pekerjanya yang cedera dalam kejadian itu.

Sebagai langkah keselamatan, lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kawasan berkenaan juga ditutup sepenuhnya.

Dalam kejadian pada 7.15 malam semalam, dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH.

Sementara itu, PLDSASB yang merupakan pemaju bagi projek pembinaan DASH dalam kenyataan berasingan memaklumkan operasi pembersihan perancah besi berkenaan yang masih berjalan akan bersambung esok apabila terpaksa dihentikan pada 3 petang tadi kerana hujan lebat.

PLDSASB juga menasihati pengguna lebuh raya berkenaan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat yang lorong kanan dari kedua-dua arah Lebuhraya NKVE ditutup dan laluan kontra telah diaktifkan untuk melancarkan trafik, selain pengguna dinasihatkan mematuhi arahan pengawal trafik serta papan tanda penunjuk arah yang disediakan di lokasi.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) Datuk Mohammad Azlan Abdullah menjelaskan Prolintas selaku pemaju DASH secara konsisten mengingatkan kontraktor terlibat supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mengambil langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan pembinaan lebuh raya.

“Hasrat dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi.

“Bagaimanapun, insiden yang berlaku pada petang semalam amat mendukacitakan dan kami bersama kontraktor terlibat iaitu MRCB Builders Sdn Bhd akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, serta akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada,” katanya.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan untuk rekod, pembinaan DASH melibatkan lapan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam reka bentuk, pengawasan dan penyeliaan daripada pelbagai aspek.

Untuk sebarang maklum balas atau pertanyaan, orang ramai boleh hubungi mana-mana saluran komunikasi Prolintas menerusi hotline -1 300 88 5522 dan e-mel ke [email protected].

– BERNAMA


Pengarang :