Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau lembangan sungai selama 24 jam menjelang Aidilfitri bagi mengelak henti tugas loji rawatan air. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

LUAS berjaya tangani 18 insiden pencemaran sungai sejak Januari

SHAH ALAM, 22 JUN: Sebanyak 18 insiden pencemaran sungai berjaya ditangani segera bagi mengelak henti tugas loji rawatan air (LRA) sejak Januari sehingga semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kenyataan berkata sehingga kini juga tiada kes pencemaran direkodkan dalam tempoh tersebut.

“LUAS sentiasa menggerakkan Skuad Pantas untuk melaksanakan operasi pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air iaitu di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Tindakan ini bagi mencegah daripada berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas LRA disamping memastikan kelangsungan sumber air di negeri ini sentiasa terpelihara,” katanya.

LUAS turut menyeru orang awam membuat aduan berhubung aktiviti mencurigakan sehingga menyebabkan pencemaran sumber air dengan menghubungi talian WhatsApp 019-264 7904 atau e-mel [email protected].

Berdasarkan rekod sepanjang tahun lalu, LUAS berjaya menangani 19 daripada 29 kes pencemaran air. Bagaimanapun, baki 10 kes menyebabkan henti tugas LRA sehingga menjejaskan bekalan air kepada pengguna.


Pengarang :