Dato’ Teng Chang Khim berucap ketika pengumuman keputusan e-Bazar Raya dan pelancaran Sidec TV secara maya pada 23 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lulus RM500,000 geran padanan bantu peniaga beralih konsep maya

SHAH ALAM, 23 JUN: Selangor meluluskan dana hampir RM500,000 melalui Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke maya.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata pihaknya menerima 500 permohonan setakat ini dan menggalakkan lebih ramai peniaga mengambil peluang sama sehingga Ogos.

“Kita menjangka 350 permohonan akan diluluskan. Setakat ini, kerajaan telah meluluskan jumlah geran keseluruhan hampir RM0.5 juta.

“Walaupun tarikh pendaftaran kumpulan pertama tamat pada minggu lepas (15 Jun), PKS masih lagi boleh mendaftar pada Ogos untuk kumpulan seterusnya,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pengumuman keputusan e-Bazar Raya Selangor dan pelancaran Sidec TV melalui aplikasi Zoom hari ini.

Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.

Berikut syarat-syarat kelayakan PKS:

– Berdaftar bawah undang-undang berkaitan di Malaysia
– Syarikat sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki rakyat Malaysia
– PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
– Beroperasi sekurang-kurangnya setahun
– Mempunyai perolehan jualan tahunan sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
– Terhad kepada satu permohonan bagi setiap PKS dan mereka dibenar memohon untuk tiga perkhidmatan digital dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan Sidec


Pengarang :