Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop (tengah) ketika penyerahan sumbangan 20 unit kerusi roda kepada Hospital UiTM di Dewan Berlian kampus Puncak Alam, Kuala Selangor pada 25 Jun 2021. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS sumbang 20 unit kerusi roda untuk kegunaan Hospital UiTM

SHAH ALAM, 26 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang 20 unit kerusi roda kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sokongan komitmen institusi awam menangani Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata kemudahan itu diharap membantu keperluan kritikal hospital sepanjang tempoh pandemik seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Sumbangan ini dapat bantu kelengkapan hospital terutama untuk kegunaan pesakit di pelbagai wad, lebih-lebih lagi Hospital UiTM kini dilantik sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) berskala mega,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sumbangan diserahkan kepada Pengarah Hospital UiTM Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim di Dewan Berlian kampus Puncak Alam, Kuala Selangor semalam.

Sementara itu, Saipolyazan berkata sebelum ini Hospital UiTM antara 17 hospital sekitar Lembah Klang yang menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM1.77 juta.

Menurutnya, sumbangan RM50,000 bagi meringankan beban pesakit yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital terbabit.

 


Pengarang :