Selangorkini
MAIS mengagihkan sumbangan kutipan fidyah kepada 11 rakan strategik agensi itu pada 21 April 2021. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais peruntuk RM2 juta bantu keluarga hilang kerja, pendapatan merosot

SHAH ALAM, 15 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntukkan sebanyak RM 2 juta untuk membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan akibat COVID-19 terutamanya golongan B40, mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau mereka yang hilang punca pendapatan.

Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan hari ini berkata, MAIS telah mengagihkan sumbangan kepada 15,418 keluarga penerima dengan jumlah RM1.514 juta dari peruntukan agihan fidyah Mais, sejak Program Agihan Fidyah MAIS ini dilancarkan pada 28 Dis 2020.

“Sumbangan berupa pek makanan kepada pemohon yang layak, dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais (RSAFM) yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah yang terlibat,” katanya.

Ahmad Shahir berkata, RSAFM memainkan peranan dengan membantu mengemas kini dan mengesahkan maklumat yang diperlukan oleh mereka serta menolong pengagihan fidyah MAIS.

Katanya Mais berharap agar sumbangan yang diterima, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang perlu ditanggung mereka, terutamanya ketua keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Mais mengajak semua umat Islam di Selangor yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan memerlukan bekalan makanan asasi untuk menyertai Program Sumbangan Agihan Fidyah Mais, dengan menghubungi mana-mana Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat masalah dan kemusykilan berkaitan permohonan bantuan agihan fidyah Mais, pemohon boleh merujuk pegawai urusetia Agihan Fidyah Mais (AFM) iaitu Ustazah Hafizatul Akmal Abd Jalil di talian 019-264 6277 atau Amirah Addilah Mohd Johari di talian 017-327 2069.

-BERNAMA


Pengarang :