Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) MSU Medical Centre, Shah Alam pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA AGENSI

Mais seru umat Islam ambil vaksin, yakin halal dan selamat

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam di negeri ini untuk mengambil vaksin sebagai perlindungan daripada wabak Covid-19.

Pengerusinya berkata umat Islam perlu yakin bahawa vaksin ditawarkan kerajaan adalah halal dan melalui proses penilaian ketat dari semua aspek.

“Pihak kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa ianya selamat digunakan bagi membentuk imuniti kelompok,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya tindakan kerajaan dan Kerajaan Negeri menyediakan vaksin adalah usaha murni yang perlu disokong seluruh rakyat.

Selain itu beliau berkata peranan ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini juga akan diperkasa bagi membantu meningkatkan tahap kesedaran pendaftaran vaksin di kalangan ahli kariah.

Katanya masjid dan surau bukan sahaja tempat beribadah malah pusat rujukan utama ahli kariah serta penyebaran maklumat sahih kepada masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengambil vaksin.

“Walaupun aktiviti bersemuka di masjid dan surau terhad namun aktiviti secara atas talian boleh dilaksana secara meluas seperti bacaan al-Quran, ceramah, tazkirah selain seruan berkaitan pengambilan vaksin.

“Pendekatan ini diharap boleh menimbulkan kesedaran dan kefahaman kepada ahli kariah yang tinggal berdekatan masjid atau surau berkaitan kepentingan mengambil vaksin Covid-19,” katanya.


Pengarang :