Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Malaysia atasi Thailand 1-0, nyalakan peluang ke Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Harapan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 terus menyala selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi ini.

Gol kemenangan skuad Harimau Malaya di Stadium Al Maktoum dijaringkan pemain sayap kanan Muhammad Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada babak kedua perlawanan untuk membantu pasukan mencatat kemenangan kedua ke atas skuad bimbingan Akira Nishino pada kempen itu.

Kejayaan membenam Thailand membolehkan Malaysia merampas kedudukan ketiga Kumpulan G daripada skuad Gajah Perang itu dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Keputusan itu turut menyaksikan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe meraih kemenangan keduanya ke atas Thailand, selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertemuan kedua-dua pasukan sejak mula menggalas tugas pada Disember 2017.

Pada perlawanan ‘hidup mati’ itu, kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan pertama sejak kempen kelayakan itu bersambung melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama masing-masing sebagai menyuntik nafas baharu dalam pasukan bagi memburu tiga mata berharga.

– BERNAMA


Pengarang :