Botol berlabel ‘vaksin AstraZeneca Covid-19’ dan jarum suntikan dilihat di hadapan logo AstraZeneca yang dipapar dalam ilustrasi diambil pada 10 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Malaysia terima vaksin AstraZeneca dari Thailand, percepat imunisasi kelompok

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-358 hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin Covid-19 ‘Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’ keluaran AstraZeneca dari pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengilang kedua itu merupakan pengeluar yang menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya pada 2 Mac lepas, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Belanda yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke negara Eropah.

“Sebagai makluman, kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX yang mula diterima pada April.

“Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima dari pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kelulusan pendaftaran secara bersyarat memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin dari semasa ke semasa.

Katanya ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini serta perbandingan manfaat-risiko vaksin kekal positif.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

– BERNAMA


Pengarang :