Kementerian Kesihatan Arab Saudi menyediakan kemudahan enam hospital, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan sepanjang ibadah haji.
AGENDANASIONAL

Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini – Menteri

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah itu dilaksanakan oleh warganegara dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

“Sebentar tadi saya menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan keputusan Kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji daripada negara luar bagi Musim Haji 1442H itu.

“Justeru, mewakili Kerajaan Malaysia, saya ingin menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H, akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut,” katanya.

Dr Zulkifli berkata makluman yang sama telah diterima oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada rakan sejawatnya Putera Faisal Farhan Al Saud.

Kenyataan rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi juga telah dikeluarkan pada 6.10 petang tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata Lembaga Tabung Haji akan menguruskan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk menunaikan ibadah haji, selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Arab Saudi.

Dr Zulkifli juga memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang terpaksa menangguhkan ibadah Haji pada tahun ini dan menegaskan keputusan yang diambil amat berat dan sukar untuk diterima.

“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan.

“Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat. Pun begitu, saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti pandemik Covid-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita,” katanya.

Terdahulu, Haramain menerusi perkongsian dalam laman Twitter memaklumkan jumlah jemaah Haji tahun ini terhad kepada 60,000 orang untuk warganegara Arab Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.

“Berikutan perkembangan pandemik Covid-19 dan kemunculan varian baharu, Haji 1442 dihadkan kepada warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara Arab Saudi  – (60,000).

“Status kesihatan mereka yang berhasrat mendaftar bagi menunaikan Haji 1442 perlu memenuhi kategori berikut: orang yang sudah menerima vaksin, penerima vaksin yang telah menerima satu dos dan selepas 14 hari atau penerima vaksin yang sembuh daripada jangkitan,”.

-Bernama

 

 

 

 


Pengarang :