AGENDAAGENSISELANGOR

Maqis Selangor rampas 25,000 kilogram kubis dari China

SHAH ALAM, 4 Jun: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 25,000 kilogram kubis bulat yang diimport dari China kerana dipercayai mempunyai serangga perosak jenis ‘Plutella xylotella Linn’ di Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Maqis Negeri Selangor Zamri Hashim berkata pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguasa MAQIS mendapati kubis bulat yang cuba dibawa masuk dari China itu dipercayai mempunyai lebih daripada seekor serangga perosak pada setiap kubis yang diimport. 

“Beberapa sampel telah diambil dan masih dalam siasatan. Kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengimport keluaran pertanian yang dipercayai mempunyai perosak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Adalah menjadi keutamaan MAQIS untuk sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke Malaysia bagi menjamin setiap keluaran pertanian terbabit tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan, katanya.

 – BERNAMA


Pengarang :