AGENDANASIONAL

Masyarakat diminta cakna, perhati orang sekeliling cenderung bunuh diri

SHAH ALAM, 29 JUN: Masyarakat diminta lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga atau orang sekeliling yang mempunyai simptom awal kemurungan untuk membunuh diri.

Ketua pengarah kesihatan berkata pemerhatian perlu diutamakan terhadap individu yang sentiasa sedih, murung, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, sukar menumpukan perhatian pada rutin harian serta mengalami gangguan tidur dan selera makan.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata tindakan sama juga perlu terhadap mereka yang menyatakan hilang harapan, bosan untuk hidup, menganggap dirinya beban keluarga selain menyatakan hasrat menamatkan riwayat hidup sama ada secara lisan atau penulisan.

“Jika kemurungan gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

“Individu mempunyai gejala ini perlu mendapatkan nasihat perubatan profesional segera bagi mengelakkan keadaan lebih buruk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, data dikeluarkan polis mendapati terdapat peningkatan berhubung kes bunuh diri antara 2019 dan 2020.

“Pada 2020 sebanyak 631 kes dilaporkan berbanding 609 kes pada tahun sebelumnya manakala 336 kes dilaporkan dari Jan hingga Mac tahun ini.

“Masyarakat diminta menghormati perasaan ahli keluarga individu bunuh diri dengan tidak merekod video atau menyebarkan gambar di media sosial,” katanya.


Pengarang :