AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

MB bincang laksana titah mulakan sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 17 JUN: Dato’ Menteri Besar akan berbincang dengan Speaker Dewan Negeri Selangor hari ini bagi merancang pembukaan sidang dewan itu secepat mungkin.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasil perbincangan akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk perkenan pelaksanaan sidang itu.

Beliau menyifatkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dapat mempertahankan keluhuran sistem demokrasi berperlembagaan supaya proses semak dan imbang cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Titah baginda selaras aspirasi rakyat agar usaha menangani Covid-19 dapat dinilai dan dibahas penambahbaikannya di samping memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata titah itu jelas melambangkan keprihatinan dan kepedulian Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu terhadap nyawa dan kehidupan rakyat.

Semalam Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata di peringkat negeri Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian agar Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.


Pengarang :