Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB kekalkan kestabilan politik, tumpu bela rakyat

SHAH ALAM, 26 JUN: Di sebalik pergolakan politik peringkat persekutuan, Dato’ Menteri Besar sepanjang tiga tahun menerajui Selangor berjaya mengekalkan kestabilan politik di negeri ini.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata pentadbiran Kerajaan Negeri bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) kukuh berikutan kepercayaan rakyat kepada Dato’ Seri Amirudin Shari.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar

Halimey Abu Bakar juga percaya usaha Amirudin membela penduduk dengan memperkenal dan menambah baik dasar sedia ada seperti Inisiatif Peduli Rakyat dan Inisiatif Roda Darul Ehsan menambat hati rakyat.

Beliau menambah kesungguhan pentadbiran negeri memperkasa pelbagai aspek termasuk pendigitalan banyak membantu golongan peniaga kecil meraih pendapatan dalam talian.

“Rakyat gembira melihat semua ini dan kepercayaan semakin bertambah apabila melihat sendiri bagaimana Dato’ Menteri Besar bertungkus-lumus menangani Covid-19.

“Jadi kestabilan politik itu wujud apabila mendapat kepercayaan dan agenda bantu rakyat dapat terus dijalankan,” katanya mengulas pencapaian tiga tahun Amirudin mentadbir negeri pada 19 Jun.

ADN Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong

Wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong pula berkata Dato’ Menteri Besar menarik perhatian rakyat berikutan amalan urus tadbir dan pengurusan kewangan baik.

Beliau memberi contoh penstrukturan semula Skim Darul Air Ehsan membolehkan kerajaan membantu lebih ramai golongan memerlukan hasil penjimatan.

“Apabila mempunyai kewangan kukuh dapat terus bantu rakyat, sebagai wakil rakyat kami gembira kerana mampu menghulurkan bantuan.

“Jumlah bantuan juga tidak dipotong dan dirasai semua,” jelasnya.

Sepanjang tiga tahun, Amirudin berdepan penjajaran politik peringkat nasional berikutan kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan tumbang.

Meski ada segelintir wakil rakyat di Selangor menukar parti tetapi pentadbiran negeri tidak tergugat, malah sokongan teguh dizahirkanya kepada beliau.


Pengarang :