AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Keputusan beli vaksin untuk sediaan masa depan rakyat

SABAK BERNAM: Keputusan Selangor membeli vaksin bukan mahu mendahului mana-mana pihak sebaliknya untuk persediaan masa depan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bertujuan mempercepatkan imuniti kelompok susulan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan.

“Kelompok menerima vaksin ketika ini dalam kalangan umur 18 tahun ke atas tetapi kanak-kanak pun ramai dijangkiti, cuma mereka belum boleh divaksin serta kena tunggu dulu.

“Apabila kanak-kanak ini boleh divaksin kemudian hari, adakah kita perlu tunggu stok vaksin lagi, saya rasa lebih baik bersedia untuk masa depan anak-anak,” katanya ditemui selepas menghadiri Program Saringan Komuniti di Dewan Seri Sekinchan di sini, hari ini.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor.

Inisiatif itu terkandung dalam Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Amirudin berkata perbincangan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memuktamadkan bekalan vaksin berfasa bermula akhir Jun.

Program itu memfokus penerima vaksin dalam kalangan warga emas, pekerja industri serta kilang.

Namun Kerajaan Negeri turut mengusahakan perolehan vaksin sebagai persediaan melindungi generasi muda yang bakal berumur 18 tahun tetapi belum menerima vaksin.

 


Pengarang :