ADNBERITA UTAMASELANGOR

MB kreatif teroka bidang baharu, serasi cita rasa anak muda

SHAH ALAM, 23 JUN: Kreativiti dan keberanian Dato’ Menteri Besar meneroka bidang baharu sepanjang tiga tahun pentadbiran Dato’ Seri Amirudin Shari mencetus pelbagai program baharu yang dekat di hati anak muda.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua berkata pendekatan itu terpancar melalui penganjuran ekonomi kreatif, e-sukan dan ekonomi sampingan yang turut menjadikan Selangor terkedepan berbanding negeri lain.

Edry Faizal Eddy Yusof juga percaya lontaran idea sedemikian memenuhi cita rasa, malah banyak membantu golongan muda selaku pelapis generasi masa depan.

“Kerajaan Negeri memang diketahui dalam kalangan penggiat sangat mendukung e-sukan. Tidak cukup dengan (penganjuran) acara, terbaru Selangor bakal ada Bandar e-Sukan Selangor.

“Ini cukup membuktikan Selangor bukan sekadar ‘acah-acah’ dalam usaha membangunkan e-sukan,” katanya ketika mengulas tiga tahun pentadbiran Amirudin pada 19 Jun lalu.

Edry merujuk kejohanan Permainan Siber Selangor (SGC) edisi Piala Duduk Rumah yang menawarkan hadiah keseluruhan RM40,000 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Penganjuran sukan maya kemudian diteruskan dengan Selangor Xtiv Virtual e-Sport lapan fasa hingga hujung tahun.

Selain itu, beliau berkata anak muda juga berpeluang menjana pendapatan melalui ekonomi sampingan menerusi Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) melalui kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri.

“RiDE membantu anak muda mendapat lesen motor yang kemudian digunakan untuk melakukan khidmat penghantaran,” katanya lagi.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pula menyifatkan kedua-dua inisiatif itu menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam aktiviti bermanfaat ketika pandemik.

Di samping meningkatkan kemahiran, beliau menganggap program sedemikian menetapkan hala tuju jelas dalam membuka peluang terlibat dalam sektor ekonomi.


Pengarang :