Skuad Harimau Malaya terus giat menjalani sesi latihan di Dubai, UAE, malam tadi sebagai persiapan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE, malam esok (awal pagi Jumaat waktu Malaysia). Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

MB: Kuasai bahagian tengah, Harimau Malaya mampu tandingi UAE

SHAH ALAM, 2 JUN: Skuad Harimau Malaya mampu menyaingi Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jumaat ini sekiranya berjaya menguasai bahagian tengah yang kuncinya memiliki pemain pantas dan keras.

Dato’ Menteri Besar berkata jika jurulatih Tan Cheng Hoe dapat memilih seorang pemain pertahanan tengah memiliki dua aspek itu, tidak mustahil Malaysia mampu mencipta kemenangan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Zabeel, Dubai.

“Selain pertahanan kuat, kita perlu ada pemain tengah yang yang mampu mengekang dan mengawal lawan di bahagian berkenaan. Harus ada pemain yang pantas dan keras.

“Selain dari Syameer (Kutty Abba) perlu difikirkan pemain lain yang keras dan cergas kerana pemain UAE ini agak pantas selain mempunyai ketinggian fizikal,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada sesi sembang santai disiarkan secara langsung di Instagram penyampai saluran Astro Arena, Hafizal Ahmad malam ini.

Berkongsi formasi pilihan dan kesebelasan utamanya, bekas pengurus bola sepak Selangor itu memilih 4-3-3 dengan meletakkan Samuel Sommerville di posisi penjaga gol manakala di bahagian pertahanan Matthew Davies, La Vere Corbin Ong, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Dion Cools.

Junior Estdal bertindak sebagai pemain tengah pertahanan dibantu Mohd Azam Azih dan Liridon Krasniqi manakala serangan pula Amirudin memilih Mohamadou Sumareh, Safawi Rashid serta Syafiq Ahmad.

Beliau turut berharap Cools, pemain dari FC Midtjylland yang baharu disenaraikan dalam skuad negara dan berpengalaman beraksi di Liga Juara-Juara Eropah dapat membantu memantapkan barisan pertahanan.


Pengarang :