Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diberi penerangan berhubung penggunaan kit pemantauan kendiri di rumah bagi pesakit Covid-19 oleh petugas kesihatan Klinik Selcare ketika meninjau program Saringan Komuniti percuma di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak pada 20 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Lebih 70 individu disyaki positif Covid-19 di saringan tiga DUN

GOMBAK, 21 JUN: Kadar jangkitan Covid-19 menerusi Saringan Komuniti yang diadakan di Dewan Beringin Seri Gombak semalam masih tinggi melebihi kadar nasional.

Dato’Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berkata jumlah yang hadir seramai 1,200 orang dengan lebih 70 individu disyaki positif wabak.

“Bagi fasa ketiga ini tumpuan adalah di kawasan yang mempunyai kadar positif yang tinggi dari nasional dan ia diperoleh dari fasa sebelum ini.

“Sebagai contoh kadar positif di Sungai Tua dan Gombak Setia ini adalah tinggi pada saringan lepas iaitu enam hingga lapan peratus.

“Hari ini daripada 1,200 kita dapati 70 lebih yang positif dan masih melebihi kadar nasional dengan enam peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan Saringan Komuniti bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer.

Pada 9 Jun Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa tiga diteruskan di kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Amirudin berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, Kerajaan Negeri menyaring penduduk menerusi program fasa satu ketika PKP 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa dua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.


Pengarang :