Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Penduduk Kajang disaran hadir saringan percuma Sabtu ini

SHAH ALAM, 22 JUN: Dato’ Menteri Besar mempelawa penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang hadir membuat saringan Covid-19 secara percuma Sabtu ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan, saringan komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor itu diadakan di Dewan Seri Cempaka bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

“Warga DUN Kajang dan sekitarnya disaran menjalani ujian saringan Covid-19 percuma Sabtu ini. Daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya di Facebook.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan pengesanan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program berkenaan dengan tumpuan di kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Sebelum ini program sama turut diadakan di DUN Seri Setia, Taman Medan, Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer. Manakala, Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

 


Pengarang :