Peniaga menyiapkan tempahan makanan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

MB rancakkan pendigitalan, bantu peniaga depani Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Inisiatif pendigitalan yang dirancakkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sepanjang tiga tahun pentadbirannya memacu sektor ekonomi negeri meski berdepan wabak Covid-19.

Memberi contoh, exco perdagangan berkata platform Grab Selangor dan Platform Selangor (PLATS) disusuli kempen e-Bazar Raya Selangor yang dibangunkan memastikan peniaga kecil terus dapat mencari rezeki.

“Mulai saat itu, Kerajaan Negeri mendaftar ramai pengusaha kecil dan sederhana yang sebelum ini dilihat ‘menjauhi’ e-dagang dan pendigitalan. Kita berikan insentif baucar pendaftaran serta geran padanan.

“Dari segi pencapaian juga agak baik, program e-Bazar Raya dan Tahun Baharu Cina merekodkan kesan ekonomi RM2.3 bilion,” kata Dato’ Teng Chang Khim mengulas ulang tahun ketiga pentadbiran Amirudin pada Sabtu lalu.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei pula menyifatkan inisiatif Amirudin dalam bidang pendigitalan membuka pandangan baharu masyarakat terhadap Selangor sebagai sebuah negeri pintar.

“Bila berlaku pandemik Covid-19, Dato’ Menteri Besar agak agresif. Hasilnya penjaja dapat berniaga manakala kami wakil rakyat boleh terus menjalankan tugas, ini benar-benar dikatakan negeri pintar.

“Saya gembira Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mengambil inisiatif membuat penerangan tiga bahasa dalam aspek pendigitalan sekali gus lebih ramai audien dicapai,” katanya.


Pengarang :